Penulis: Iz Hafiz
KUALA LUMPUR: Setakat 28 Ogos yang lalu, Kementerian Kewangan telah menyalurkan sejumlah RM627.1 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha untuk memerangi pandemik COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata, ia adalah peningkatan daripada RM515.0 juta yang disalurkan setakat minggu sebelumnya.
“Pembendungan pandemik COVID-19 adalah faktor kritikal dalam pemulihan ekonomi,” katanya dalam laporan LAKSANA ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Di bawah pakej rangsangan PRIHATIN, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk program pembendungan penularan pandemik bagi membiayai pembelian peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan makmal untuk saringan COVID-19.