Penulis: Iz Hafiz
SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyangkal dakwaan sekolah kebangsaan (SK) terlalu Islamik hingga mengabaikan mata pelajaran Sains dan Teknologi.
Dakwaan terlalu Islamik menjadi punca ibu bapa bukan Bumiputera memilih sekolah vernakular berbanding SK itu, hasil kesimpulan sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Maju Foundation, baru-baru ini.
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata kenyataan itu bersifat prejudis dan tidak menggambarkan kefahaman mendalam terhadap Falsafah Pendidikan Negara serta bersifat dangkal.
“Ia tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta betul. Ini kerana masih ada lagi ibu bapa bukan Islam menghantar anak di SK, bahkan sekolah berasrama penuh (SBP) masih menempatkan murid bukan Melayu.
“Mereka harus memahami kewujudan SK ialah menjunjung matlamat Penyata Razak 1956 dan memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dari segala aspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Azizee berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) dilaksanakan di SK jelas tiada pengabaian subjek Sains dan Matematik serta subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, aktiviti keagamaan yang dilaksanakan seperti bacaan doa dan majlis sambutan kebesaran Islam ialah untuk membina kerohanian murid Islam sebagai asas pembinaan jati diri.
“Negara sudah mencapai 63 tahun merdeka dan tidak seharusnya menjadikan semua pihak memandang rendah terhadap SK, sebaliknya berusaha memperkasa dan memartabatkan lagi sekolah berkenaan.
“Malah, Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri mempersiapkan segala perancangan pendidikan untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 termasuk dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.