Hak Istimewa Isteri Dalam Perkahwinan Dalam Islam

  • Whatsapp
Penulis: Fitriah
Pada kedudukan sebagai seorang isteri, banyak amalan masyarakat dan pengalaman keluarga yang merugikan hak-hak isteri sehingga mereka tidak mampu untuk membela diri kerana budaya dalam masyarakat menempatkan isteri pada kedudukan yang lemah. Justeru, untuk memberikan hak kepada isteri dan menempatkan mereka sebagai hamba Allah yang sama dengan lelaki dalam melaksanakan kewajipan yang telah disyariatkan, Islam telah menggariskan hak- hak isteri yang wajib dipatuhi oleh suami.
Di dalam situasi ini para isteri hendaklah celik agama dengan mengetahui dan memahami hak-hak mereka agar dapat mengesan perilaku suami yang dikategorikan sebagai pelanggaran hak-hak isteri dan sekaligus juga dapat membela diri sama ada di hadapan suami atau di mahkamah syariah.
Menurut istilah; hak ialah sesuatu yang dapat dipunyai atau dikuasai, baik yang berupa benda mahupun yang berupa wewenang dan kewajipan, ialah sesuatu yang perlu diberikan, baik yang berupa benda mahupun yang berupa perbuatan. (Syafii. 1995. 273) Firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Ertinya: “dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang ma’ruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah maha perkasa lagi maha bijaksana” (al-Baqarah: 228)
Terdapat beberapa hak yang wajib suami tunaikan ke atas isteri berdasarkan nas al- Quran dan hadith Nabi antaranya hak mahar, hak nafkah, hak mendapat hubungan komunikasi yang baik, hak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar, hak terhadap harta sepencarian, dan beberapa hak asasi wanita yang akan disebut penulis di dalam kertas kerja ini antaranya hak wanita untuk bersuara, hak untuk bekerja dan hak terhadap hartanya sendiri.
HAK-HAK YANG WAJIB DIBERIKAN KEPADA ISTERI
1- HAK MENDAPAT MAHAR
Mahar adalah suatu pemberian wajib dari suami kepada isterinya dengan sebab berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri. Banyak sedikitnya mahar itu bergantung kepada kerelaan atau kemahuan isteri. Firman Allah:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
Ertinya: “berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita yang kamu kahwini sebagai pemberian penuh kerelaan, kemudian jika mereka menyerahkan kepadamu sebahagian dari maskahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu sebagai makanan yang sedap lagi baik akibatnya” (an-Nisa’:4)
Di dalam hadith Nabi s.a.w ini ada menerangkan beberapa benda yang boleh dijadikan mahar, antaranya:
i- Mata wang, sebagaimana dalam hadith Nabi:
ii- Barangan seperti cincin, kasut, pakaian dan sebagainya seperti yang diterangkan dalam hadith berikut:
iii- Pekerjaan seperti menghafal al-Quran, seperti yang diterangkan dalam hadith berikut:
iv- Makanan atau bahan
v- Dengan memerdekakannya
Mahar merupakan hak mutlak isteri yang tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati melainkan dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Seorang suami boleh berhutang mahar kepada isterinya dengan syarat ianya wajib dilunaskan kembali. Suami yang tidak mahu membayar mahar yang dihutang kepada isterinya diancam Allah dengan ancaman yang sama dengan orang-orang yang berhutang dengan niat tidak mahu melunasinya padahal mereka mampu untuk membayarnya kembali.
2- NAFKAH – ZAHIR DAN BATIN
Nafkah menurut istilah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya. Biaya yang dimaksudkan ialah semua hajat dan keperluan pelajaran, makanan, ibadat, tempat tinggal dan sebagainya. (al-Syarbini.425). Hak nafkah yang wajib diberikan kepada isteri boleh dibahagikan kepada dua jenis, nafkah zahir dan nafkah batin.
a. NAFKAH ZAHIR
Sudah menjadi ketetapan agama bahawa suami wajib memberikan belanja untuk makan, minum, pakaian dan tempat tinggal isteri sesuai dengan kemampuannya. Firman Allah s.w.t:
لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Ertinya:” hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya”.(al-Talaq:7)
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا
Ertinya: “dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya”. (al-baqarah:233)
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُمْ بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِنْ تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Ertinya: “tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka dan menyempitkan hati mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin” (al-talaq:6)
Sementara dalil-dalil dari sunnah pula:
عن معاوية القشيري قال: أتيت رسول االله صلى االله عليه وسلم قال: فقلت: ما تقول في نسائنا؟ قال: أطعموهن مما تأكلون، واكسوهن مما تكتسون ولا تضربوهن ولا تقبحوهن
Ertinya: dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya datang kepada Rasulullah s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya: “berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka (H.R Abu Dawud)
Ayat-ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa setiap suami bertanggungjawab memberi makanan, pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Suami tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa yang dimakan dan dipakai suaminya. Begitu juga kadar makan dan pakai yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan oleh suaminya.
Di dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang di luar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi ini isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah s.a.w:
عن عائشة رضي االله عنها قالت: جاءت هند إلى النبي صلى االله علي وسلم فقالت: يا رسول االله، إن أبا سفيان رجل شحيح، لا يعطيني ما يكفيني وولدي إلا ما أخذت من ماله وهو لا يعلم. فقال: خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف
Ertinya: “dari aisyah r.a berkata: sesungguhnya Hindun datang kepada rasulullah lalu berkata: “wahai Rasulullah< Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya”. Lalu Baginda bersabda: “ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar”. (H.R Bukhary dan Muslim)
Hadith ini menegaskan bahawa Islam membenarkan bagi isteri mengambil harta suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anak, jika suaminya mempunyai harta yang cukup tetapi tidak memberikan haknya mengikut kemampuannya. Jika suami yang bakhil di cela oleh agama dan dibenarkan bagi isterinya mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa pengetahuannya, maka lebih berdosalah lagi suami yang tidak memberi nafkah isterinya. Sudah tentu perbuatan itu tela melanggari hak isteri yang telah ditetapkan oleh syariat islam.
Menurut Imam an-Nawawi bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;
i. Makanan.
ii. Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya).
iii. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
iv. Pakaian.
v. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.
vi. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah). (an-Nawawi.450-461)
b. NAFKAH BATIN
Hendaklah mempergauli isteri itu dengan baik. Firman Allah:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ وَقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ مُلَاقُوهُ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
Ertinya: isteri-isterimu adalah seperti tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat becucuk tanammu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah amal yang baik untuk dirimu dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu kelak akan menemui- Nya. Dan berilah khabar gembira orang-orang beriman. (al-Baqarah:223)
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Ertinya: …”dan bergaullah dengan mereka dengan sebaik-baiknya….”
Dalam Islam isteri boleh menolak hajat atau keinginan suaminya untuk bersetubuh dengan syarat ia mestilah dalam keadaan darurat atau keuzuran seperti semasa haid, nifas, sedang dalam ihram dan sebagainya. Bagaimanapun pengertian mengenai darurat dan keuzuran bukan setakat itu, banyak lagi perkara lain yang perlu difahami setiap suami. Misalnya jika isteri mengalami masalah kesihatan yang menyebabkan isteri tidak berupaya melayan kehendak seks suami, ia juga ditakrifkan sebagai darurat.
Begitu juga jika isteri berada dalam keletihan yang amat sangat, penolakan berkenaan dirujuk kepada isteri yang dalam tertekan, runsing, mengantuk yang teramat sangat dan keletihan yang amat sangat sehingga meyebabkan isteri berkenaan tidak berkeupayaan melayani kehendak seks suaminya dengan baik, ia juga dibolehkan. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang bekerja, tujuannya untuk membantu suaminya sendiri dalam soal kewangan.
Namun begitu pangertian nafkah batin bukanlah berkisar perlakuan seksual semata- mata. Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin. Selain seks berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, menjaga hati dan perasaan, berbual dan bermesra serta mendidik atau memberi didikan agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin. Jika tidak mampu untuk mengajar, si suami hendaklah membawa isterinya ke kuliah-kuliah atau kelas pengajian fardhu ain yang diadakan di masjid-masjid atau surau-surau.
3- KOMUNIKASI YANG BAIK
Membina komunikasi yang baik sesama suami isteri adalah dituntut di dalam Islam. Suami harus berlaku adil kepada isteri, dan isteri juga haruslah berlaku adil terhadap suami. Komunikasi yang baik terhadap isteri termasuklah melayaninya dengan baik, lembah lembut, bertolak ansur sama ada dalam hubungan fizikal atau mental. Ini bersesuaian dengan sifat semula jadi wanita yanglembut dan mudah terguris hatinya. Perkara ini jelas dinyatakan dalam hadith Nabi s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w: Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (H.R Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut jelas menerangkan cara komunikasi yang berkesan terhadap wanita.Perlakuan kasar kepada isteri mencakupi ucapan yang menyakitkan atau tindakan yang menyakitkan fizikalnya. Bentuk tindakan yang menyakitkan perasaan isteri misalnya mencari-cari kesilapan isteri, mengkhianati isteri, menganggu ketenangan isteri malam hari misalnya dengan pulang lewat malam dari berpoya- poya atau bermain atau bersembang-sembang di luar hanya memenuhi seleranya sendiri tanpa memerhatikan kepentingan isteri. Tindakan seperti ini dilarang oleh Rasulullah s.a.w, sabda Baginda: Ertinya: dari Jabir: Nabi s.a.w melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari, melarang berkhianat kepada mereka atau mencari-cari kesalahan mereka. (H.R Muslim)
Seorang suami yang baik akan sentiasa menghormati dan melayani isteri dengan baik dan bersabar dengan tingkah laku isterinya yang mungkin tidak disukainya. Firman Allah:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
Ertinya: …”dan bergaullah dengan mereka secara patut (makruf), kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menykai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”
Jika suami tidak menyenangi salah satu sifat isterinya hal tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk berlaku kasar kepada isterinya, bahkan suami hendaklah berpandangan adil dengan melihat sifat-sifat isterinya yang disenangi sehingga dapat mendorong dirinya untuk tidak berlaku kasar dalam menghadapi perangai isterinya.
4- HAK MENDAPAT BIMBINGAN DAN TUNJUK AJAR
Isteri berhak menerima bimbingan dari suami dan tunjuk ajar serta nasihat darinya samada dari sudut pendidikan agama, pergaulan sesama saudara baik dari sebelah isteri mahupun suami, dengan jiran tetangga,cara berpakaian, cara mengawal emosi dan sebagainya. Suami juga berhak mengajar isteri cara mendidik anak dengan betul malah isteri dan anak-anak berhak mendapat contoh akhlak yang terpuji dari suaminya sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w:
Ertinya:” Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka janganlah menyakiti jiran tetangganya, dan hendaklah kamu berpesan tentang berbuat baik terhadap perempuan kerana sesungguhnyaperempuan ini dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok, sebengkok-bengkok tulang rusuk itu yang atasnya, sekiranya engkau cuba membetulkannya ia akan patah dan jika sekiranya engkau membiarkannya dia akan terus bengkok, oleh itu maka hendaklah engkau sentiasa berpesan tentang berbuat baik kepada perempuan”.
Sabda Rasulullah SAW lagi:
Ertinya:Rasulullah s.a.w bersabda:”setiap orang di antaramu adalah pemimpin dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya, seorang imam adalah pemimpin atas umatnya,dan dia bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas isteri dan keluarganya…..(HR Ahmad, Abu Dawud dan Tirmizi)
Begitu juga suami wajib memelihara isterinya dari segala perkara yang boleh mencemarkan kehormatannya dan menjauhkannya dari perbincangan yang tidak baik. Begitu juga dalam mendisiplinkan isteri, suami berhak mendidik dan memberi tunjuk ajar yang baik kepada isteri.
Dalam sebuah hadith lain, sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Lelaki terbaik di antara kalian adalah orang yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteri.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Ertinya: “hai orang-orang yang beriman jagalah dirimu dan keluargamu dari seksa api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang keras yang tidak menderhakai Allah atas perintah-Nya dan selalu taat pada apa yang diperintahkan kepada mereka” (at-Tahrim:6)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa suami bertanggungjawab menjaga ahli keluarganya termasuk isteri dari segala macam perbuatan dosa ataupun syirik. Ia juga menegaskan hak isteri untuk dijauhkan dari perbuatan dosa dan maksiat. Jika isteri nyata telah melakukan perbuatan dosa maka wajblah suami mengambil tindakan.
5- HAK TERHADAP HARTA SEPENCARIAN
Islam mengiktiraf bahawa adat yang tidak bercanggah dengan hukum Syara’, baik secara khusus atau umum, adalah menjadi salah satu sumber hukum Syara’. Sesuatu adat itu boleh diterima apabila sudah menjadi kelaziman. Kaedah fiqh yang menjadi sandaran dalam hal ini ialah “al-Aa’dah Muhakkamah” yang ertinya sesuatu adat adalah menjadi hukum.
Walaupun harta sepencarian tidak secara khusus dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh, namun, ia boleh diterima sebagai suatu adat bagi pasangan Melayu Islam yang bersama-sama berusaha untuk memperoleh harta, baik dalam rumah atau di luar rumah. Harta yang diperoleh dari usaha bersama itu akan menjadi harta bersama. Adat ini telah diterimapakai, diamalkan dan dijadikan asas kepada prinsip harta sepencarian yang dimasukkan ke dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang diamalkan di negara kita sekarang ini.
Undang-undang Keluarga Islam memberikuasa kepada Mahkamah untuk membahagikan harta sepencarian ini antara suami dan isteri apabila tuntutan dibuat di Mahkamah. Sumbangan secara tidak langsung oleh isteri seperti sumbangan ke arah kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga diambilkira sebagai sumbangan untuk memperolehi harta sepencarian.
Penyertaan isteri dalam kerja-kerja suaminya walaupun secara tidak langsung seperti hanya mengiringi suami dalam perjalanan untuk menjalankan perniagaan hendaklah dianggap sebagai sumbangannya dalam perolehan harta kerana penyertaan isteri itu memberi kedamaian dan ketenteraman kepada suami sehingga berjaya dalam pekerjaannya. Oleh itu apa-apa aset/harta sama ada harta alih atau harta tak alih yang diperolehi semasa perkahwinan adalah menjadi harta sepencarian. Sumbangan tidak langsung ini telah diiktiraf oleh hukum Syara’. Dalam ayat 228 surah al-Baqarah, Allah berfirman:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ
yang bermaksud: ”… Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang hukum Syara’)…..”.
Dari kenyataan di atas jelas bahawa dalam suatu tuntutan harta sepencarian, sumbangan satu pihak hanya timbul jika suami sahaja yang berkerja mendapatkan harta tersebut manakala pihak isteri berada di rumah untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dalam keadaan ini isteri dianggap sebagai memberi sumbangan secara tidak langsung dan sumbangan itu diakui oleh Syara’.
Jika isteri bekerja dan memperoleh harta sedangkan suami tidak bekerja tetapi mendakwa bahawa beliau telah memberi sumbangan secara tidak langsung dengan menjaga keluarga seperti menghantar isteri ke tempat kerja dan menjaga anak-anak di rumah, maka tuntutan suami untuk mendapatkan bahagiannya daripada harta tersebut tidak diiktiraf oleh hukum Syara’. Ini adalah kerana tanggungjawab sebenar mencari rezeki dan mencari harta untuk kebahagian rumahtangga adalah terletak pada suami.
KESIMPULAN
Fenomena dalam masyarakat kita sejak dulu sering memperlihatkan sikap yang lebih memihak kepada kaum lelaki dalam perhubungan suami isteri. Pandangan sedemikian rupa haruslah dikikis dalam diri setiap individu khususnya pihak suami. Dengan adanya ketentuan syariat yang mengiktiraf dan membela hak-hak isteri seperti yang dibahaskan, jelaslah menunjukkan bahawa Islam mengangkat martabat isteri sebagai manusia yang dihormati yang sama nilainya dengan suami.

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *