Gangguan makhluk halus antara cabaran malim gunung

  • Whatsapp

Penulis: Fit Hisham

 

Read More

banner 300250

RAUB: Diganggu makhluk halus hingga menyebabkan sesat dalam hutan antara pengalaman dilalui mereka yang terbabit sebagai pemandu alam semula jadi atau malim gunung.

Ini diakui Aziatul Umi Syakila Subaini, 26 yang lebih lapan tahun bertugas sebagai malim gunung di kawasan hutan Lata Lembik, dekat sini.

Menurutnya, cabaran lain yang biasa dilalui malim gunung ketika membawa pelancong ialah terserempak dengan binatang buas.

“Banyak cerita pelik dilalui malim gunung sepanjang berada dalam hutan, diganggu makhluk halus mudah berlaku sekiranya ada pelancong bercakap besar atau mulut celupar.

“Perbuatan itu berakhir dengan kejadian sesat serta tidak jumpa jalan keluar walaupun menggunakan sistem pengesanan lokasi (GPS ), malah sesat dalam hutan paling ditakuti malim gunung terutama apabila membawa pelancong yang ramai,” katanya yang menetap di Kampung Ulu Sungai, di sini.

Beliau ditemui selepas majlis penutup Kursus Asas Pemantapan Pemandu Alam Semula Jadi (Malim Gunung) disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pahang, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali di Dewan Pamah Rawas Ulu Dong, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri (JPNP), Grippin Akeng dan Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad.

Kursus lima hari anjuran JPNP dengan kerjasama PHD Raub disertai 40 peserta dengan peserta didedahkan latihan teori dan amali.

Sementara itu Sh Mohmed Puzi berkata, malim gunung perlu memiliki banyak ilmu berkaitan hutan, herba dan binatang untuk diceritakan kepada pelancong yang mereka bawa melawat ke sesuatu tempat.

“Saya berharap individu yang terbabit sebagai malim gunung di negeri ini dapat terus berusaha menimba ilmu selain mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan bahasa lain walaupun tidak lancar.

“Untuk mengetahui berkaitan balak, herba dan gunung mereka boleh belajar dengan kakitangan JPNP yang mempunyai pengalaman luas berkaitan hutan,” katanya.

Bagi Grippin, malim gunung mampu menjadi mata dan telinga JPNP, mereka boleh salurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti yang menyalahi undang-undang berlaku di dalam hutan.

“Jabatan akan terus berusaha melatih malim gunung di setiap daerah kerana negeri ini banyak terdapat tempat menarik yang perlu diperkenalkan kepada pelancong.

“Banyak kawasan air terjun di bawah seliaan jabatan seperti Taman Eko Rimba (TER) Chamang dan Lentang, Bentong, Sungai Pandan, Kuantan dan Lata Jarum, di sini,” katanya.

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *