Ekonomi New Zealand meleset

  • Whatsapp

Penulis: Iz Hafiz

WELLINGTON: New Zealand dilanda kemelesetan ekonomi buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun hari ini, apabila data mengesahkan kelumpuhan ekonomi.

Read More

banner 300250

Keadaan itu memaksa Perdana Menterinya, Jacinda Ardern mempertahankan tindak balas terhadap pandemik COVID-19 negara itu menjelang pilihan raya umum bulan depan.

Penyusutan 12.2 peratus antara April dan Jun itu adalah yang terbesar pernah direkodkan, menurut agensi data kebangsaan New Zealand, dengan negara itu dikenakan perintah berkurung selama hampir dua bulan dan sempadan ditutup.

Ardern menafikan dakwaan pembangkang bahawa langkah itu menyebabkan kelumpuhan ekonomi, dan menegaskan sekatan itu berjaya mengekang penularan virus dan membantu perniagaan kembali beroperasi lebih awal berbanding banyak negara lain.

Perdana Menteri New Zealand itu turut menegaskan, negara berkenaan hanya mencatatkan 25 kematian akibat COVID-19 berbanding jumlah penduduk seramai lima juta.

“Bagi saya, kejayaan sebenar adalah menyelamatkan nyawa, membantu dan menyelamatkan perniagaan, keluar daripada krisis ini lebih pantas dengan pelbagai aktiviti. Saya menyokong hasil yang berjaya kita capai,” katanya kepada wartawan.

Ardern berkata, impak negatif perintah berkurung terhadap ekonomi pada Jun akan disusuli dengan lonjakan pada Julai hingga September apabila sekatan dilonggarkan.

Ardern kini berada jauh di depan dalam tinjauan pilihan raya itu dan dijangka mengekalkan jawatannya, walaupun angka buruk pada ekonomi.

Menteri Kewangan, Grant Robertson, berkata impak itu mungkin jauh lebih teruk, dengan kertas belanjawan pada Mei lalu menjangkakan penyusutan 23.5 peratus dan Perbendaharaan meramalkan penurunan 16 peratus minggu ini.

“Tidak mungkin akan ada mana-mana parti politik yang boleh mendakwa tidak akan berlaku kemelesetan ekonomi di New Zealand dalam tempoh ini. Ini adalah kejutan pandemik global yang berlaku sekali dalam 100 tahun,” tegasnya.

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *