Penulis: Fit Hisham
KUALA LUMPUR: Hari Kebangsaan Ke-63 pasti membawa pengertian mendalam kepada komposer dan penyanyi, Asfan Shah yang terbabit dalam projek menghasilkan dua lagu patriotik terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Dua lagu berkenaan iaitu Janji Merdeka dan Genderang Cinta terhasil melalui projek video kenegaraan bersama selebriti dan media yang diusahakan agensi kerajaan itu.
Asfan berkata, lagu Genderang Cinta adalah hasil ciptaannya dengan lirik dihasilkan KuAlong.
“Saya juga menyumbangkan suara bersama angkatan penyanyi baharu seperti Wany Hasrita, Aiman Tino, Luqman Faiz, Afieq Shazwan dan Neeta dalam lagu ini.
“Terasa diri ini sudah tua apabila berganding dengan mereka. Namun, jiwa dan semangat saya tetap muda.
“Saya sangat teruja menyanyikan lagu patriotik ciptaan sendiri,” katanya kepada BH Online.
Asfan berkata, lagu Genderang Cinta yang berunsur pop moden umpama luahan kasih anak muda terhadap tanah air tercinta.
“Lagu ini menyuntik semangat dan rasa terima kasih kepada negara iaitu tempat kita dilahirkan serta membina kehidupan,” katanya sambil menambah proses rakaman lagu itu dijayakan pada 13 Ogos lalu.
Bagi lagu Janji Merdeka, Asfan bertindak sebagai penerbit muzik.
“Saya bertuah terbabit dalam projek lagu ini yang dicipta Datuk DJ Dave dan lirik nukilan Awang Abdullah.
“Apa yang menarik, DJ Dave menyumbangkan suara untuk lagu berkenaan selain Datuk Awie, Ella, Siti Sarah dan Siti Nordiana.
“Ini suatu penghormatan peribadi buat saya kerana dapat bekerjasama dengan ramai artis berpengaruh,” katanya.