ANAK MUDA DAN MISI PENDIDIKAN KEINSANAN

  • Whatsapp

Pengenalan

Read More

banner 300250

Pendidikan bukanlah sekadar membawa misi pencerahan, mengenderai manusia daripada gelita kegelapan menuju terang cahaya pengetahuan. Atau lebih dikesalkan lagi jika pendidikan hanyalah ditanggap sekadar program rutin kemanusiaan, supaya berkelayakan pada memenuhi pasaran kerja. Agenda pendidikan lebih daripada sepolos tanggapan berkenaan, ianya adalah upaya pembinaan dan perlanjutan tamaddun. Kegiatan pendidikan haruslah dimaknai sebagai bahagian daripada proses pemantapan dan pengutuhan dimensi keinsanan. Manakala, program pendidikan yang insani pula adalah wasilah untuk melahirkan manusia beradab dan madani.

 

Anak muda dengan semangat dan tenaga kepemudaan yang memenuhi mereka hendaklah didorong untuk berkerja di lapangan pendidikan memimpin dan memaknakannya sebagai proses penyemaian keinsanan. Anak muda jangan dilengahkan menyambut taklifan daripada masyarakat sebagai pemegang taruh program pendidikan, supaya wawasan pendidikan dapat dialirkan dengan tenaga muda.

 

Tabii Anak Muda

Sebelum mentaklifkan anak muda terhadap pekerjaan besar ketamadunan ini, hendaklah terlebih mereka ini dikenali.

 

Berkata seorang hukama :

Orang tua mengira sesuatu dengan perhitungan

Orang muda mengira sesuatu dengan gelojak perasaan

 

Pada garis besar psikologi, anak muda adalah kelompok yang dikatakan cenderung untuk menerima sesuatu yang baru, mengolah dan melontarnya ke dalam bentuk  yang sesuai dengan kejiwaan mereka. Keanjalan deria terima, mudah mengakses bawaan yang diterbang angin entah dari Timur mahupun Barat dengan sedikit penyaringan serta memberikan respon yang aktif terhadapnya semuanya terlibat dalam diri mereka. Hal ini sangat sukar untuk terelakkan, kerana minda yang basah dan jiwa muda yang bertenaga adalah ladang yang sangat subur untuk menanam sebarang idealisme. Justeru, dikalangan generasi ini, mereka akan mencongak pilihan, memikirkan dengan ilmu dan pengetahuan, menilai alasan yang perlu bagi sebarang pilihan yang dibuat. Sesuatu yang hampir mustahil untuk menghentikan mereka daripada berfikir tentang pilihan dan harapan, keinginan dan hasrat yang menyala.

 

Manakala, daripada sudut kelebihan yang terdapat pada mereka pula, nukilan di bawah menjelaskan :

 

“Anak muda berada antara dua kelemahan ; kelemahan ketika kecil, dan kelemahan ketika tua. Waktu muda inilah mereka berlepas diri daripada kedua-dua kelemahan itu. Mereka kuat. Mereka bertenaga”

 

Kuat dan bertenaga amat tepat sebagai tabii anak muda. Istilah anak muda di wilayah berbahasa Melayu ini dipenuhi dengan lapangan semantik yang jika difahami dengan jujur oleh penutur jati ianya memberahikan lagi gelojak tabii berkenaan. Kelompok ini telah dilencanakan dengan kuat tenaga dan bersemangat waja. Adalah diharapkan mereka dapat ditampilkan ke hadapan menjadi kelompok yang sedar terhadap peri pentingnya menggalas amanah pendidikan keinsanan dengan sebaiknya. Sebagaimana budaya itu muncul akibat diolah, dicipta dan ditempa, maka, budaya berorientasikan ilmu seharusnya diciptakan supaya dapat menjadi pelantar untuk menata jiwa anak muda pemimpin pendidikan mengisinya.

 

Anak muda yang telah menempuh proses pendidikan yang sempurna serta mereka yang jelas pemandangannya sering melihat diri mereka sebagai figura yang perlu ke hadapan di tengah-tengah masyarakat. Tambahan pula dalam konteks negara ini, jurang generasi terpelajar dengan generasi terdahulu yang tidak sempat mengecap pembelajaran formal adalah dekat, maka ramailah yang menyedari diri mereka sebagai elemen sedar daripada masyarakat (the conscience element of the society). Merekalah yang memikul kefardhuan kifayah yang tertaklif atas sesetengah golongan itu untuk membuat kerja-kerja pengislahan. Kerana mereka berpengetahuan dan berkesedaran, timbullah insaf dalam diri mereka untuk melantunkan kefahaman ini untuk masyarakat yang dilingkungi mereka.

 

Berpengetahuan dan berkesedaran ini adalah pusat  keterampilan. Apa yang mendorong mereka untuk berdiri ke muka ialah mengalirnya cahaya ilmu dan mendenyutnya rasa pertanggungjawaban. Ditambah pula jika mereka “memiliki minat ilmiah yang tinggi dan semangat prihatin terhadap ummah”, maka besarlah jiwa mereka yang berkenaan itu. Seharusnya sifat inilah menjadi batu asas golongan anak muda yang diharapkan, mereka yang menekuni pelajaran dengan pelbagai macam pendedahan.

 

Pendidikan Keinsanan

 

Terlepas daripada sindrom pengjangkapendekan (shortterism), kehilangan arah (aimlessness), tidak semata-mata bermatlamat memenuhi selera industri atau melahirkan pemain ekonomi adalah wajah pendidikan keinsanan. Proses pemindahan nilai yang sempurna bertujuan mengukuhkan dimensi keinsanan dan kemanusiawian adalah kerja haqiqi sebuah sistem pendidikan keinsanan. Disamping tidak mengabaikan rutin yang telah termaktub dalam takwim akademik atau penanda aras prestasi akademik semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, pendidikan keinsanan haruslah digiatkan lebih bertenaga agar nilai tambah pembinaan watak insaniah yang mewarisi nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti kasih sayang, integriti, amanah, bersahsiah terpuji dapat dijelmakan ke dalam diri para graduannya. Dunia hari ini dicorakkan oleh apa yang dikirimkan daripada sistem pendidikan. Jika berhajatkan dunia sejahtera, maka, pendidikan yang membekali makanan, rohani, aqli dan akhlaki hendaklah disedari akan kepentingannya.

 

Anak Muda Sebagai Jurutera

 

Bagi mendaki maksud berkenaan, selain daripada para pemegang taruh telah diamanahkan secara formal untuk menjayakan matlamat pendidikan negara, anak muda yang tercerah hendaklah diberi galakan yang luas. Mereka yang telah dinyatakan ciri-cirinya berkenaan, adalah kelompok sedar yang meyakini bahawa, jalan perubahan ke arah hidup yang lebih baik dan perubahan yang sihat tidaklah lain selain daripada gerakan keilmuan atau pendidikan. Mereka hidup dalam zaman yang mana maklumat dilambakkan dengan begitu mudah daripada Timur dan Barat. Justeru, kelompok yang tercerah ini sedia terlatih dalam menyaring setiap maklumat berkenaan sehingga mereka memilih untuk tampil menyuarakan peri pentingnya gagasan pendidikan keinsanan di arus perdanakan.

 

Sebagai pilihan, anak muda bolehlah menterjemahkan wawasan murni ini ke lapangan pendidikan tidak formal yang terdapat di pelbagai NGO, kelas luar kuliah, institusi swasta dan sebagainya. Mereka boleh menggerakkan dengan lebih laju memandangkan kesungguhan, semangat dan tenaga muda memang begitulah seharusnya. Kumpulan ini pula hendaklah disokong melalu pelbagai insentif daripada pihak berkuasa seperti pemberian geran, bantuan kewangan untuk melincirkan perjalannya. Sesuai dengan sifat gemar bereskperimen dan berkarya, anak muda seharusnya berani menghasilkan inovasi yang baharu dalam bentuk modul pendidikan keinsanan yang sepadu, integratif dan boleh diukur kemenjadian (outcome) pelajarnya. Lebih jauh dan pasti akan dihargai ialah jika mereka dapat mengilhamkan gambaran sebuah institusi pendidikan yang menepati ciri-ciri berkenaan lengkap dengan struktur operasi, silibus dan pelan pembangunan terancang. Hal ini tentu memerlukan iltizam, kesungguhan intelektual yang tinggi dan perhatian yang mendalam terhadap bidang ini. Dan, itu tidaklah mustahil melihatkan semangat sebilangan mereka.

 

Penutup

Pepatah Cina ini amatlah menarik direnungkan sebagai mengukuhkan lagi kepentingan pendidikan, serta peranan anak muda dan para pemegang taruhnya ;

 

Jika mahu hidup setahun tanamlah jagung

Jika mahu hidup seribu tahun, didiklah manusia

 

Semoga anak muda dapat berperanan sebagai orang yang hidup dan menghidupkan manusia untuk seribu tahun lagi. Pendidikan keinsanan adalah bertukang untuk ketamadunan.

 

Diterbitkan dalam Majalah Dewan Masyarakat, Disember 2017.

Related posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *