Penulis: Fitriah
KUALA LUMPUR: “Mujur saya belum sempat sampai ke kereta apabila ia tiba-tiba meletup. Alhamdulillah saya terselamat namun sedih apabila kenderaan berulang alik ke tempat kerja rosak teruk,” kata Mohd Shafiq Hazad Sukur.
Itu detik cemas dialami salah seorang daripada lebih 50 pemilik motosikal dan kereta yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di tempat letak kereta Blok 41 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Perumahan Bandaraya Gombak Setia di sini, awal pagi tadi.
“Ketika kejadian, saya sedang tidur sebelum terima panggilan telefon daripada seorang rakan memberitahu kejadian itu kira-kira jam 4.30 pagi.
“Saya terus bergegas turun dan nampak bahagian belakang Myvi sedang terbakar.
“Saya kemudian terus berlari ke arah kereta dengan niat nak menyelamatkan barangan berharga yang ada di dalam kereta termasuk geran kenderaan namun tak sempat apabila ia tiba-tiba meletup,” katanya yang baru dua tahun membeli kenderaan itu.
Katanya, beliau berasa sedih dan amat terkilan dengan kejadian itu kerana kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki setiap hari musnah.
Suri rumah, Faridah Abu Bakar, 46, pula mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila tiga buah motosikal jenis Honda dan Demak milik keluarganya musnah dalam kejadian itu.
Katanya, dua buah motosikal digunakan dua anak lelakinya untuk berulang alik ke tempat kerja dan sebuah lagi untuk kegunaan harian beliau dan suaminya.
“Kami sekeluarga mengetahui kejadian itu kira-kira jam 6 pagi selepas diberitahu jiran dan tak menyangka beberapa bunyi kuat seperti letupan yang kedengaran sebelum itu berpunca daripada kebakaran itu.
“Sedih dan terkilan apabila mendapati tiga motosikal kami musnah sama sekali namun bersyukur kerana kereta milik suami terselamat kerana diparkir agak jauh dari tempat kejadian,” katanya yang tidak menolak kemungkinan kejadian itu berunsur khianat.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Gombak Setia, Khir Nasaruddin Mohd Khir, yang ditemui BH meminta pihak berwajib untuk tampil membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian itu.
“Ramai mangsa tertekan kerana kebanyakan motosikal dan kereta yang musnah digunakan mereka untuk kegunaan harian dan mencari rezeki berulang alik ke tempat kerja masing-masing.
“Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka dan ada yang terbeban dengan kejadian itu kerana menjejaskan mata pencarian,” katanya.
Beliau turut berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan sebaiknya untuk mencari punca sebenar kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, sebanyak 53 buah motosikal musnah dan sebahagian daripada lapan buah kereta yang diletakkan di kawasan parkir Blok 41, PPR rosak teruk.
Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada 5.05 pagi menggerakkan empat jentera bersama 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, Gombak Selatan dan Setapak ke lokasi untuk memadam kebakaran.
Buat masa ini, pihak bomba dan polis sedang menyiasat punca sebenar kebakaran dan pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.